KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menetapkan bayaran zakat fitrah di Kelantan pada tahun ini kekal RM7.

Timbalan Yang Dipertua Maik Datuk Kamaruddin Mohd Zin berkata 611 amil dilantik memungut zakat fitrah terdiri daripada imam masjid, pegawai agama di kem tentera, balai polis dan pusat tahanan.

“Kutipan zakat fitrah pada tahun ini dijangkakan berjumlah RM8 juta berbanding RM7.9 juta pada tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 1 peratus,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kompleks Islam Darul Naim, Lundang di sini hari ini.

Beliau berkata Maik turut melantik amil bagi mengutip zakat fitrah melalui kaunter bergerak yang dibuka di beberapa pusat beli-belah di negeri ini.

Mengenai kutipan zakat harta, katanya sejak Januari hingga 30 Jun lepas, RM53.166 juta dikutip berbanding tempoh yang sama tahun lepas RM38.136 juta.

Kamaruddin berkata 60 peratus daripada kutipan zakat harta itu disumbangkan melalui zakat pendapatan dan jumlahnya meningkat berikutan kesedaran umat Islam untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

“Maik telah mengagihkan RM63.154 juta kepada golongan yang berhak menerima zakat. Jumlah agihan itu melebihi daripada jumlah kutipan selepas ditambah dengan baki agihan tahun lepas,” katanya.

Umat Islam boleh membayar zakat di pejabat Maik, institusi perbankan yang dilantik, kaunter mini pungutan zakat di masjid daerah seluruh negeri dan melalui portal rasmi Maik, e-zakat payment di www.e-maik.my.   – Bernama