MACHANG – Sebut sahaja Pasar Isnin, pasti yang tersenyum terutamanya golongan suri rumah apabila ia sering dikaitkan sebagai pasar kesukaan penduduk dan sering dinanti-nantikan setiap minggu.
Tinjauan Sinar Harian ke Pasar Isnin atau lebih dikenali sebagai pasar “se’na” di kalangan penduduk di sini, kelmarin penuh sesak dengan orang ramai yang sibuk menyediakan persiapan raya pada minggu terakhir Ramadan ini.
Lebih 4,000 pengunjung dianggarkan memenuhi kawasan pasar tersebut yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, Isnin lalu.
Seorang pengunjung, Hashim Ali, 45 berkata, biarpun terpaksa bersesak-sesak namun dia tetap berpuas hati apabila mendapat baju Melayu yang diharapkan.
Katanya, dia lebih suka membeli di pasar itu memandangkan terdapat banyak pilihan yang ditawarkan peniaga-peniaga.
Segala-gala yang diperlukan ada di sini malah ditawarkan dengan harga yang rendah.
“Saya dan keluarga suka membeli pakaian yang siap memandangkan ia lebih murah berbanding ditempah di kedai jahit.
“Anak-anak ditinggalkan di rumah bagi memudahkan saya dan isteri membeli pakaian dan persiapan raya yang lain,” katanya.
Seorang suri rumah dari Tanah Merah, Suriati Alias berkata, walaupun sesak dia dan rakan-rakan suka membeli barangan di Pasar Isnin, memandangkan segala barangan yang diperlukan ada dijual dengan pelbagai tawaran, pilihan serta harga berpatutan.
Katanya, jika membeli di kedai biasa pada saat-saat akhir seperti ini, peniaga mengenakan harga tetap dan lebih mahal berbanding di Pasar Isnin.
“Gaji suami saya agak lewat sedikit, jadi saya tidak dapat membuat persiapan awal dan terpaksa membeli di saat-saat akhir.
“Pasar Isnin memang terkenal dengan pelbagai jenis barangan yang menarik dan harga yang berpatutan seterusnya memberi lebih nilai kepada wang kami,” katanya. -sinar harian








