Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pemandu teksi sebagai kumpulan penting yang dapat meningkatkan imej negara menerusi sikap dan layanan mesra, sekali gus memberikan persepsi positif kepada pelancong asing. Perdana Menteri berkata, dengan sikap dan adab tinggi, pemandu teksi dapat membantu kerajaan mengetengahkan Malaysia sebagai negara yang disenangi pelancong asing.
“Antara sentuhan utama kepada pelancong luar ialah apabila mereka menaiki teksi, mereka menemui pemandu teksi dan membina persepsi menerusi interaksi pertemuan itu, terutama ketika mereka menaiki teksi yang dipandu oleh anda.
“Sama ada persepsi positif, menyenangkan ataupun sebaliknya, anda adalah sebahagian daripada nadi ekosistem kita, anda dilatih, diberi panduan bagaimana nak memperlihatkan imej baik dan layanan menyenangkan hati pelanggan.
“Oleh itu, lakukan yang terbaik dan jika anda lakukan perkara ini, imej Malaysia dapat dilonjakkan ke tahap lebih tinggi,” katanya ketika berucap melancarkan Duta Teksi Pelancongan di Dataran Putra di sini, semalam.
Program duta teksi
Program Duta Teksi Pelancongan bermula Mac lalu bagi mendedahkan kepada pemandu teksi mengenai kepentingan penerapan amalan nilai beretika.
Ia juga bertujuan memupuk jalinan kerjasama antara Kementerian Pelancongan dan industri pelancongan dengan pemandu teksi untuk membangunkan industri pelancongan negara.
Najib berkata, sekiranya pemandu teksi bersopan, menunjukkan adab tinggi, sentiasa senyum dan mesra pelanggan selain menceritakan perkara baik mengenai negara serta tunjuk sikap amat positif, pelancong akan dapat gambaran baik.
“Mereka (pelancong) akan dapat persepsi sedang melancong sebuah negara yang mana rakyatnya sentiasa sedia menerima pelancong dengan layanan amat baik, lagi menyenangkan hati mereka,” katanya.
Perjuang kebajikan
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa memperjuangkan kebajikan pemandu teksi bagi membantu mereka.
“Saya minta Pengerusi SPAD untuk bincang dengan anda supaya kita dapat gubal model baru yang mana kebajikan anda akan bertambah baik,” katanya.








