BACHOK – Sebanyak 55 basikal yang mempunyai motif hiasan kemerdekaan menjadi simbolik sambutan kemerdekaan negara tahun ini, berarak mengelilingi Kampung Kuau dekat sini.

Perarakan itu diadakan sempena sambutan kemerdekaan peringkat Komuniti 1 Malaysia Kuau Keluat, dan pertandingan kibarkan Jalur Gemilang anjuran Jabatan Penerangan.

perarakan-55-basikal-berhias

Pengerusi Komuniti 1 Malaysia Kuau Keluat, Che Norddin Che Husin berkata, segala persiapan sambutan diadakan di anjung bestari yang melibatkan gotong-royong kira-kira 200 penduduk setempat.

“Ini adalah sambutan rutin yang kami adakan setiap tahun sempena ulang tahun kemerdekaan negara. Kebetulan pada masa sama panel penilai juga hadir untuk membuat penilaian terhadap pertandingan kibarkan Jalur Gemilang.

“Kami sebagai wakil daerah Bachok amat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk, yang sentiasa memberikan kerjasama dalam menjayakan setiap program di sini. Kami harap akan dapat tempat yang terbaik untuk Bachok dan Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, desa ini juga mempunyai jawatankuasa dan biro yang mengendalikan perihal khusus termasuk biro penerangan dan perpaduan, biro kebudayaan dan kesenian, biro agama dan kerohanian, biro ekonomi dan keusahawanan, biro kawalan dan keselamatan kampung serta biro wanita dan keceriaan.

Di suatu sudut anjung bestari itu juga diletakkan sebuah basikal tua dan lesung padi, iaitu peralatan tradisional untuk menumbuk padi.

Menurutnya, kebetulan selepas sambutan kemerdekaan itu diadakan, kampung mereka dilawati seorang pelajar asing iaitu, Caroline Zajac, 23, dari Bavaria, Jerman. -sinarharian