PASIR PUTEH ( Gaal ), 15.Nov – Kesungguhan kerajaan melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengatasi permasalahan air di jajahan Pasir Puteh semakin menampakkan hasilnya apabila terlaksananya projek Menaik Taraf Loji Wakaf Bunut.

 

Perasmian pecah tanah telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini, turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar Mejar(B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman, Empat Adun dalam Parlimen Pasir Puteh,(Gaal, Limbongan, Selising dan Semerak ), Pengurus Besar AKSB Ir.Hanapi Mahmud.

Datuk Md Anizam ketika berucap di masjid Wakaf Bunut berkata pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan negeri dalam usaha untuk menyediakan bekalan air bersih kepada rakyat negeri ini, namun disebabkan berlakunya pertukaran kerajaan tahun 1990, Kerajaan Persekutuan telah menyekat peruntukkan untuk Kelantan menyeliakan pembangunan air.

“ Begitu juga dalam usaha kerajaan memohon sejumlah RM300 juta dalam RMK 10, namun hanya diluluskan sejumlah RM90 juta sahaja dan kita terpaksa berhati-hati dalam menguruskan sejumlah wang yang sedikit ini”ujar beliau.

Pembinaan telaga Jejari tersebut boleh menampung sejumlah 25 MLD sehari dan kos yang terlibat ialah RM 5.6 juta sementara itu kos pembinaan loji adalah RM10juta yang akan meningkatkan kapasiti air dari 11MLD kepada 14MLD.

Md Anizam juga berkata sehingga kini sudah terdapat empat Telaga Jejari yang telah diguna pakai iaitu di Jajahan Jeli ( Kampung Layat Jeli, Air Lanas, Stong dan Kuala Balah ).

Penggunaan teknologi Jerman ini adalah yang terbaik dan boleh menjimatkan kos penyelenggaraan apabila digunakan kerana ia mengambil air dibawah tanah dan akan berlakunya kejernihan air yang amat sesuai diguna pakai.

Sementara itu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz ketika di sidang akhbar berkata rakyat Kelantan seharusnya bersyukur di atas anugerah air dari Allah dan diharapkan dapat dimenafaatkan sebaik mungkin.

“ Saya juga ingin menegaskan gangguan bekalan air di Kelantan bukan sahaja terletak di bahu AKSB kerana faktor terputusnya bekalan elektrik juga adalah punca utama dalam masalah gangguan bekalan air, Rakyat seharusnya faham apabila bekalan letrik putus, air dalam tangki semakin susut dan untuk memenuhkan semula bekalan air ia memerlukan 5 hingga 6 jam” katanya lagi.

Menyentuh ada tohmohan yang mengatakan kegagalan pengurusan menyebabkan berlakunya masalah air di Kelantan, Nik Abdul Aziz menafikan kerana proses penambahbaikan bekalan air memerlukan sejumlah wang yang besar dan Kelantan sering dinafikan hak untuk bantuan dalam bentuk kewangan dan ini boleh membantutkan usaha peningkatan bekalan air kepada rakyat.

“ Rakyat negeri ini perlu sedar yang demokrasi di negara kita ini sangat-sangat tempang, Sekiranya kerajaan Pusat mengerti bahawa Islam memberi hak kepada semua pihak, tetapi sehingga sekarang peruntukkan kewangan amat terhad, malah dalam bentuk pinjamanpun amat terhad”kata beliau lagi.