TUMPAT – Tumpat mampu menjadi pengeluar tembikai dengan pengusahaan tanaman tembikai secara berkelompok di atas tanah terbiar seluas empat hektar, di sini.
Ketua Jajahan Tumpat, Serpudin Mohamad berkata, projek usaha sama Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu bertujuan memajukan tanah terbiar.
“Agensi yang terlibat ini membekalkan input pertanian dan prasarana untuk projek tanaman termbikai itu.
“Manakala tenaga pekerjanya pula melibatkan petani seramai enam orang,” katanya ketika ditemui di tanah terbiar di Kampung Kok Durian, di sini, semalam.
Pegawai Pertanian Jajahan Tumpat, Munawaruzzaman Harun bersama Serpudin meninjau kerja–kerja tembikai dipetik.
Serpudin berkata, dijangkakan 60 tan tembikai akan dijual bagi hasil tuaian pertama selepas tiga bulan diusahakan.
“Tanah ini terbiar lebih tiga tahun, namun hasil usaha petani mengusahakan secara berkelompok, ia mampu mengeluarkan hasil lumayan.
“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sedia membeli semua hasil tembikai ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kelompok Kok Durian, Zanila Kamarudin berkata, sebelum ini di tapak tanaman tembikai sekarang ini adalah tapak tanaman tembakau.
“Sudah lama petani di sini tidak menanam tembakau, lama juga ia terbiar dan kalau ada yang usaha pun, menanam sayur secara kecil–kecilan,” katanya.
Menurutnya, sejak Pejabat Tanah Dan Jajahan Tumpat membangunkan tanah terbiar ini, ia merancakkan kembali pertanian di sini dengan tanaman tembikai dan mungkin akan usahakan tanaman bergilir–gilir di sini. -sinarharian








