Bazar Tok Guru (BTG) merupakan kompleks beli-belah terbaharu di bandar raya Kota Bharu Kelantan. Bazar ini terletak di Jalan Sultan Ibrahim Kota Bharu iaitu bersebelahan dengan Balai Polis Kota Bharu dan berhampiran Universiti Teknologi Mara UiTM Kampus Kota Bharu.

Bazar Tok Guru dibina untuk menggantikan Pasar MPKB yang diruntuhkan untuk memberi laluan kepada porjek pembangunan.

Mercu Tanda Kota Bharu

Bazar Tok Guru bakal merupakan mercu tanda terkini di Kota Bharu. Pembangunan ini ditempatkan di atas tanah seluas 5.9 ekar iaitu tapak asal Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu. Namun begitu tapak bagi Bazar Tok Guru merangkumi keluasan 1.5 ekar sahaja. Tanah selebihnya diperuntukkan bagi pembangunan bercampur merangkumi hotel, apartmen dan premis perniagaan.

Konsep rekabentuk BTG bercirikan senibina Islam yang diambil daripada elemen rekabentuk masjid di Mekah dan Madinah di antaranya ialah rekabentuk kubah dan gerbang masuk yang diambil daripada Masjid Nabawi. Bazar Tok Guru dibangunkan dengan impian untuk dimartabatkan sebagai mercu tanda bagi bandar Kota Bharu dan seluruh negeri Kelantan.

Malah Bazar Tok Guru ini merupakan bazar yang paling besar dan luas di Kelantan, serta penampilan konsep grand bazaar yang berada di tengah-tengah pusat bandar Kota Bharu. Bagi memastikan bazar ini dikategorikan sebagai premis perniagaan yang mesra pengunjung, pelbagai kemudahan disediakan seperti kaunter penerangan pelancongan, surau, lot parkir, lif, medan makan, kaunter ATM, perhentian pengangkutan awam seperti bas, teksi dan beca serta pelbagai lagi kemudahan untuk pengunjung dan pelancong.

Kelebihan Bazar Tok Guru :

  • Tingkat Bawah – Lot-lot perniagaan
  • Tingkat 1 & 2 – Lot-lot Bazar berjumlah lebih 400 unit
  • Kemudahan tempat letak kereta di tingkat semi basemen
  • Empat (4) gerbang masuk utama
  • Tempat letak bas pelancong
  • Perhentian pengangkutan awam seperti bas, teksi dan beca
  • Kaunter Penerangan Pelancong
  • Kemudahan bank dan mesin ATM