Budu merupakan salah satu makanan yang digemari oleh rakyat Negeri Kelantan khasnya dan juga diminati di negeri-negeri lain amnya. Kebiasaannya, budu dihidangkan sebagai pencecah untuk dimakan bersama ulam-ulaman, ikan bakar, dan lain-lain lagi. Di Kelantan, terdapat beberapa tempat yang menjalankan projek perusahaan budu atau dikenali sebagai sos bilis. Salah satunya adalah di Kemayang, Bachok.
Komuniti Perusahaan Sumber Perikanan (KPSP) Kemayang merupakan salah satu projek di bawah Jabatan Perikanan. Di sini, budu atau sos bilis ini diproses dan disimpan sehingga pembeli dan pemborong datang untuk membeli budu mengikut jumlah yang diingini. Budu ini diperbuat daripada ikan bilis dan garam sahaja. Selepas digaul kedua-dua bahan ini, campuran bahan tersebut akan disimpan di dalam tong yang besar untuk diperam sehingga menjadi budu. Waktu yang paling singkat bagi bahan ini diperam sebelum dibeli adalah 2 bulan. Manakala tempoh peram yang paling lama adalah dalam tempoh 2 tahun. Menurut kata Pengerusi KPSP Kemayang, Encik Daud Abdullah atau dikenali dengan panggilan Abang Man, sekiranya budu diperam lebih lama, rasanya akan menjadi lebih enak.
Selain itu, minyak yang terdapat di permukaan budu yang telah diproses akan dibeli oleh pengusaha kicap bagi membuat kicap. Ini adalah kerana rasa kicap akan menjadi lebih enak apabila dicampurkan dengan minyak budu tersebut. Bagi mereka yang ingin membeli budu asli dari Kemayang ini boleh berhubung dengan Abang Man secara terus melalui talian telefon atau terus ke tempat pembuatan dan pemprosesan budu ini.
Budu yang diproses ini tidak dijual menggunakan botol tetapi ia dijual secara pukal. Jumlah pembelian dan harga adalah seperti berikut:
|
Jumlah |
Harga (RM) |
| 1 tong kecil = 18 liter |
40.00 |
| 1 tong besar = 450 liter |
1 000.00 |











