Gejala penagihan dadah merupakan isu nasional yang sedang ditangani secara serius oleh pihak kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan termasuk JAKIM. Banyak program-program telah dilaksanakan oleh KESUMA, JAKIM seperti program ‘Menjadikan Masjid Sebagai Tempat Persinggahan Bekas-Bekas Penagih’ yang telah dan sedang diadakan di seluruh negara.

Sehubungan dengan itu pada 28 Ogos 2008 lalu Bahagian KESUMA, JAKIM dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Institusi, JPPK telah membuat kunjungan dan tinjauan ke Pusat Pemulihan Dadah (persendirian) Pondok Darul Hanan, di Tumpat, Kelantan. Bahagian KESUMA diwakili oleh Ketua Penolong Pengarah, Us Hj Aziz Bin Hj Mohamad manakala JPPK diwakili oleh Penolong Pengarah, Us. Hj Mohd Nawi Shafie.

Tujuan lawatan kerja tersebut adalah untuk mengetahui dengan lebih dekat dan mendalam lagi tentang aktiviti-aktiviti serta kaedah pemulihan dan rawatan yang dilaksanakan di pusat berkenaan.

Sebagai gambaran umum, pusat pemulihan ini telah ditubuhkan sejak tahun 1998 lagi dengan melaksanakan pemulihan berasaskan kaedah Islam, tradisional dan rawatan moden serta diiktiraf oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Pengasas pusat berkenaan iaitu, Tuan Hj Mohd Zain Abu Bakar. Pusat itu juga menempatkan sebilangan warga emas yang tiada tempat berlindung.