Taman Etnobotani, Gua Musang dibangunkan sebagai pusat penyelidikan hutan dan rekreasi bertujuan bagi memelihara kepentingan hasil hutan dan produk yang berkaitan dengannya khususnya produk herba. Ia terletak berhampiran bandar Gua Musang iaitu di Jalan Gua Musang-K. Lipis dengan kawasan seluas 35 hektar.

Komponen utama Taman Etnobotani ialah taman herba, galleri herba, pusat inkubator (8 unit) untuk pengusaha IKS berasaskan herba,kemudahan aktiviti riadah, chalet, taman mini haiwan dan pelbagai kemudahan sokongan. Antara aktiviti yang disediakan untuk pengunjung ialah lawatan ke kawasan tanaman pelbagai jenis herba, mendaki bukit, perkhemahan, titian kanopi dan menikmati keindahan gua.

Pada masa kini sebahagian daripada kawasan Taman Etnobotani sedang digunakan untuk pusat latihan belia dibawah program Pusat Latihan Khidmat Negara. Isu utama yang dikenalpasti ialah taman ini kurang mendapat sambutan daripada penduduk tempatan, pengunjung dan pelancong.

Lokasi
Terletak kira-kira 3 km dari pusat bandar Gua Musang di Jalan Persekutuan Gua Musang – Kuala Lumpur (8). Dari bandar, melepasi Taman Wangi kira-kira 500 meter di hadapan akan menemui Taman Etnobotani.

Pengangkutan Awam
Tiada perkhidmatan bas awam yang beroperasi. Perkhidmatan teksi mudah didapati di dua stesen teksi Bandar Baru dan Bandar Lama Gua Musang dengan harga tambang RM 2.

Tarikan
Taman Etnobotani terkenal dengan tanaman herba dan pusat ternakan burung Kasawari dan rusa. Pelawat berpeluang melihat habitat spesis burung ini dan spesis Rusa Timor serta berpeluang mengetahui khasiat herba-herba untuk kesihatan.

Berlatarbelakangkan gua batu kapur dan persekitaran yang tenang, beberapa aktiviti rekreasi turut ditawarkan seperti rock climbing, berkhemah, penganjuran aktiviti-aktiviti khas seperti hari keluarga, kursus-kursus dan sebagainya.

Kemudahan-kemudahan asas dan kelengkapan aktiviti termasuk kemudahan penginapan turut disediakan dan sekarang ini Taman Etnobotani menjadi Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di samping dibuka untuk pelancong.

Aktiviti Khas (Hari Keluarga/Kursus-Kursus)

  • Perlu kebenaran daripada KESEDAR dan penempahan awal
  • Dikenakan kadar bayaran antara RM 1000 – RM 3000 (mengikut bilangan peserta dan jumlah hari)
  • Kebanyakan peralatan boleh didapati di Taman Etnobotani (secara sewa)

Rock Climbing
Perlu kebenaran daripada pihak KESEDAR
Peralatan perlu disediakan oleh peserta atau sewa dengan pihak Taman Etnobotani
Keselamatan tanggungjawab sendiri
Mencabar